fb fb fb fb fb

Bumbung runtuh: 60 pesakit dialisis Hospital Lati dipindahkan

Bumbung Pusat Dialisis Hospital Lati runtuh secara tiba-tiba malam tadi/Foto Bomba Kelantan

PASIR MAS, 6 Februari - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) akan memindahkan kira-kira 60 pesakit yang mendapatkan rawatan dialisis di Pusat Dialisis Hospital Lati ke hospital dan pusat dialisis berdekatan susulan runtuhan bumbung bangunan berkenaan malam tadi.

Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata langkah itu diambil bagi memastikan pesakit yang terjejas dapat menerima rawatan segera tanpa gangguan.

"Tindakan kita sekarang adalah untuk memastikan pesakit yang terjejas mendapat rawatan di hospital atau premis berdekatan. Kita telah berhubung dengan Pengarah Hospital Pasir Mas untuk memberi keutamaan kepada pesakit-pesakit ini.

"Mereka tidak perlu risau kerana JKNK akan menguruskan penempatan semula rawatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Khatan Perdana 2025 Peringkat Hospital Tanah Merah di Lobi Utama Bangunan Emerald Hospital Tanah Merah, hari ini.

Dr Zaini turut mengakui bahawa mungkin terdapat sedikit kesulitan yang dihadapi pesakit dalam proses pemindahan ini, namun pihaknya akan berusaha untuk meminimumkan sebarang kesulitan demi kesejahteraan pesakit.

Dalam pada itu, beliau berkata JKNK menyerahkan siasatan insiden runtuhan bumbung kepada pihak berwajib untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Mas, Mohd Azmi Husin, memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.47 malam sebelum lapan anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian bagi melakukan pemeriksaan.

Beliau berkata, kejadian runtuhan yang berlaku sekitar jam 11.45 malam itu melibatkan keluasan 108 meter persegi, namun tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.

Media hari ini melaporkan bahawa runtuhan bumbung di pusat dialisis Hospital Pasir Mas menyebabkan operasi pusat tersebut terganggu, sekali gus memerlukan pesakit dipindahkan ke fasiliti rawatan alternatif.

BERITA BERKAITAN

GRACE AISYAH KEDAYAN