fb fb fb fb fb

RTM bakal siar lebih 500 program istimewa sempena Ramadan, Syawal

Datuk Suhaimi Sulaiman

KUALA LUMPUR, 6 Februari- RTM akan menyediakan lebih 500 program istimewa untuk tayangan menerusi saluran televisyen dan 34 stesen radio RTM sempena Ramadan dan Syawal bermula 25 Februari depan.

Lebih istimewa Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman turut menyumbang idea dan menulis skrip Citra Reka Busana, program yang akan menemui penonton pada 5 April nanti.

"Saya berpandangan bahawa kita selalu stereotaip setiap kali perayaan mesti ada lemang, ketupat. Tetapi kali ini kita mahu tunjukkan kelainan.

"Kali ini akan memaparkan perjalanan ataupun sejarah fabrik yang turut disulamkan dengan persembahan menghiburkan. Jadi orang boleh belajar sejarah dengan cara menghiburkan.

"Jadi, program ini berbeza daripada stereotaip dan ia perlu berbeza," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Antara rancangan televisyen lain yang akan disiarkan termasuk program 'Borak Dulu Baru Buka', Syahadah dan Mencari Al-Khaliq; sebagai pembuka tirai Ramadan.

Sementara itu bagi pendengar radio pula; Radio Klasik akan menampilkan Cubit-Cubit Manja Aidilfitri, Ghazal Termasyhur (JohorFM) dan Bermukun Se-Borneo RTM-RTB-RRI (SarawakFM).

Selain itu bermula 28 Februari depan, program tahunan paling popular iaitu Jelajah Ramadan edisi ke-13, akan dilancarkan di Kota Kinabalu, Sabah.

Kesemua siaran program berkenaan juga boleh ditonton dan didengari secara langsung menerusi RTM Klik (https://rtmklik.rtm.gov.my/).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI