fb fb fb fb fb

Projek rintis stesen minyak tanpa subsidi selamatkan hampir RM6 juta peruntukan

(FOTO RTM)

KUALA LUMPUR, 22 Jun-Hampir RM 6 juta peruntukan subsidi minyak diesel berjaya diselamatkan menerusi pelaksanaan projek rintis stesen minyak tanpa subsidi.

Inisiatif itu melibatkan dua stesen minyak di Wang Kelian dan Padang Besar di Perlis yang telah mula dilaksanakan sejak Februari lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh berkata inisatif tersebut berjaya mengekang ketirisan melibatkan penjualan minyak diesel kepada kenderaan asing.

"Dalam dua bulan pertama pelaksanaannya, kita dapati ada penurunan julan diesel dan RON 95 di stesen subsidi.

"Jumlah penjimatan sebanyak RM1.77 juta bagi diesel bersubsidi dan RM3.98 juta bagi RON 95.

"Terdapat peningkatan jualan di stesen minyak tanpa subsidi.

"Maknanya kenderaan asing tersebut boleh menerima kaedah ini memandangkan harga bahan bakar di Thailand adalah lebih mahal", katanya ketika menjawab pertanyaan Senator Hussin Ismail berkenaan mekanisme pelaksanaan stesen minyak tanpa subsidi serta mekanisme pengawalan minyak bersubsidi.

Januari lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memulakan inisiatif Projek rintis jualan minyak tanpa subsidi melibatkan RON95 dan diesel bagi kenderaan asing.

Langkah itu diambil bagi mengekang isu ketirisan RON95 dan diesel bersubsidi di negeri-negeri berhampiran sempadan.

Sementara itu, Fuziah berkata kementerian turut melaksanakan Ops Tiris sebagai satu lagi mekanisme untuk mengawal ketirisan subsidi bahan bakar.

Sepanjang ia dilaksanakan pada 1 Mac hingga 31 Mei, sebanyak 6,571 pemeriksaan dilaksanakan.

Hasil pemeriksaan terdapat 221 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM5.41 juta dan 198 tangkapan.


(Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah
Salleh)

Media Baharu