fb fb fb fb fb

Projek perumahan nelayan siap 50%, dijangka selesai tahun ini

Muhammad Faiz Fadzil (tengah) pada Majlis Ramah Mesra Madani bersama nelayan Pulau Pinang di Kompleks Pendaratan Ikan Jelutong

JELUTONG, 18 Ogos - Projek pembinaan rumah baharu dan baik pulih kediaman nelayan kini mencapai tahap 50 peratus dan dijangka siap sepenuhnya tahun ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, sebanyak 68 unit rumah baharu dibina manakala 212 unit dibaik pulih di seluruh negara.

"Di Pulau Pinang ini kita peruntukan 14 buah rumah untuk baik pulih dan juga dua buah rumah untuk bina baru untuk tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Madani bersama nelayan Pulau Pinang di Kompleks Pendaratan Ikan Jelutong pagi tadi.

Tambahnya, kerajaan turut memberi tumpuan kepada baik pulih lebih 10 kompleks pendaratan ikan yang dikenal pasti uzur. Beberapa projek sudah diluluskan, malah ada yang sedang dalam pembinaan.

Dalam majlis sama, seramai 230 nelayan daripada empat Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pulau Pinang menerima bantuan peralatan menangkap ikan bernilai RM180,000, termasuk pukat, tangkul udang lipan dan tong insulasi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE