BAYAN LEPAS, 14 Julai -Inisiatif kerajaan menerusi Program Ekonomi MADANI berasaskan pertanian dalam kem tentera, menjadi platform keluarga anggota menjana pendapatan tambahan, sekali gus membangunkan industri hiliran dan membantu keterjaminan makanan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, menerusi peruntukan RM10 juta, projek dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu juga menyokong usaha kerajaan merencanakan ekonomi dan kelestarian komuniti pertahanan.
Mengambil contoh projek keusahawanan madu kelulut dan cendawan tiram oleh komuniti Batalion Ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) Kem Sungai Ara di Bayan Lepas, beliau berkata projek itu turut membantu mengisi masa lapang keluarga anggota khususnya apabila anggota terbabit terlibat dalam misi di Lebanon tahun depan.
Katanya, program itu menerima penyertaan aktif isteri melalui Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT).
"Saya juga sangat menghargai atas sambutan keluarga tentera kepada Program Ekonomi MADANI, ini ia akan dapat membantu mengisi masa lapang, lebih-lebih lagi tahun depan kem ini anggotanya akan terlibat dalam misi ke Lubnan, MALBATT.
"Sebagai satu pertambahan pendapatan untuk mereka, kita bersedia untuk lain-lain ilmu untuk diaplikasikan. Kita juga bantu dalam soal keterjaminan makanan bangunkan industri hiliran dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Kem Sungai Ara, di sini.
Hadir sama pada majlis itu ialah, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Datuk Seri Khaled juga merakamkan penghargaan kepada keluarga anggota ATM terlibat dua projek keusahawanan di Kem Sungai Ara itu, yang memperkenalkan elemen pertanian pintar, latihan teknikal serta peluang keusahawanan kepada ahli Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) 2 RAMD selaras dengan aspirasi Kem MADANI.
Projek madu kelulut itu adalah kolaborasi antara pasukan 2 RAMD dan Universiti Sains Malaysia (USM) dengan memfokuskan penternakan lebah kelulut secara sistematik menggunakan log hive (sarang batang kayu) dan teknik pemeliharaan berasaskan penyelidikan bioteknologi.
Projek penanaman cendawan tiram pula kerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang menggunakan sistem rumah cendawan tertutup dengan kawalan suhu dan kelembapan, membolehkan hasil tuaian berkualiti dan konsisten.