KUALA LUMPUR, 16 Julai - Proses prakelayakan yang dilaksana kerajaan diyakini mampu memilih kontraktor terbaik dalam projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ia sekali gus mengelakkan syarikat mengambil kesempatan mendapatkan tender berkenaan sekiranya perolehan dibuat terlalu terbuka.
Ini termasuk memanipulasi kemampuan, tidak berkelayakan serta memalsukan bidaan.
"Di kementerian, kita serah kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) Sabah dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah untuk buat peringkat awal dan tender terbuka antara syarikat-syarikat dalam kalangan mereka sendiri.
"Ini kerana kerana di Sabah memang pengetahuan, kemampuan syarikat sebab kita hendak pastikan tidak berulang masalah kontraktor yang dilantik, seperti ketika ini, 1A ada masalah macam-macam," katanya pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini.
Beliau menjawab pertanyaan wakil Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenai tindakan KKR melaksana proses prakelayakan tanpa tender terbuka untuk projek LPB di Sabah.
Setakat ini, empat pakej kerja telah berjaya disiapkan dan dibuka untuk pengguna jalan raya manakala baki 15 pakej kerja sedang di peringkat pembinaan dan 16 pakej kerja di peringkat perolehan.