fb fb fb fb fb

ETS Gemas-JB: 93 peratus siap, bakal beroperasi April 2025

(Mohamad Fazli Salleh  (dua dari kanan) melawat Projek Landasan Berkembar
Elektrik (ETS) Gemas-Johor Bahru di Stesen KTM Segamat)

SEGAMAT, 26 September- Projek Landasan Berkembar Sistem Tren Elektrik (ETS) Gemas-Johor Bahru berjalan lancar dan kini mencapai kemajuan tahap 93 peratus; dijangka beroperasi menjelang April 2025.

Fasa pembinaan itu melibatkan komponen seperti reka bentuk, dokumentasi tender dan fasa pembinaan bagi seksyen satu hingga lima, termasuk bangunan stesen, depoh, jambatan serta landasan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur, Mohamad Fazli Mohamad Salleh memaklumkan, sehingga Ogos tahun ini, sebanyak 332 daripada 335 isu melibatkan projek berkenaan berjaya diselesaikan.

Bagaimanapun tiga isu membabitkan rumah ibadat bukan Islam di daerah Johor Bahru sedang dalam proses untuk ditangani.

"Tiga rumah ibadat tersebut adalah Kuil Dewa Sri Maha Kaliamman di Taman Impian Emas, Kuil Arulmigu Sri Sivalingeshwarar di Jalan Bujur dan Yellow Temple, Jalan Tunku Abdul Razak.

Ketiga-tiga rumah ibadat berkenaan berada di laluan landasan dan perlu dialihkan atas sebab keselamatan awam," katanya ketika ditemui selepas meninjau kemajuan projek tersebut di Stesen KTM Segamat, di sini.


(FOTO FB Media Digital Johor)

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar dan Pegawai Daerah Segamat, Mohd. Masni Wakiman.

Ujarnya, perkhidmatan ETS itu bakal beroperasi sepenuhnya pada April 2025, sekali gus membolehkan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dihubungkan dari Padang Besar, Perlis ke Johor Bahru, Johor.

“Kita menunggu depoh yang dibuat di Kempas kini sudah mencapai 54 peratus, maka kita perlu sedikit lagi masa. Namun pada masa sama, kita perlu lakukan ujian ETS, segala ujian teknikal dan sebagainya terdahulu pada November 2024.

“Jadi, saya rasa yang penting projek ini berjalan lancar dan kita pastikan dalam secepat mungkin dapat menyediakan perkhidmatan ETS kepada masyarakat hingga ke Johor,” katanya

Projek bawah Kementerian Pengangkutan bernilai RM8.9 bilion sejauh 192 kilometer itu akan melalui 11 stesen dengan tren berkuasa 25,000 voltan mampu bergerak selaju 140 kilometer sejam.

Media Baharu