fb fb fb fb fb

Program Ziarah BELACare: 10 keluarga mangsa ribut di Perlis terima sumbangan

Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari menyantuni mangsa ribut menerusi Program Ziarah BELACare

KUALA PERLIS, 28 Jun- Prihatin akan nasib yang menimpa mangsa-mangsa ribut di Kuala Perlis, UMNO Bahagian Kangar menyantuni 10 keluarga di Kampung Kurong Tengar yang berhadapan dengan musibah berkenaan.

Menerusi Program Ziarah BELACare, keluarga yang disantuni menerima sumbangan barangan keperluan harian.

Kejadian ribut yang melanda Perlis pada 21 dan 23 Jun lalu menyebabkan 135 buah rumah terjejas akibat bumbung diterbangkan angin, struktur rumah yang rosak serta dihempap  pokok tumbang.

Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya dalam kenyataannya memaklumkan, program ziarah yang dilaksanakan ini satu inisiatif yang digerakkan sejak awal tahun ini bagi menyantuni keluarga asnaf, sakit kronik dan ditimpa bencana akibat bencana alam atau kemalangan serta berkaitan bidang pendidikan.

"Inisiatif Program Ziarah BELACare melibatkan kesemua lima kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Kayang, Bintong, Indera Kayangan, Sena dan Guar Sanji.

"Pendekatan turun padang ke rumah penduduk sebagai pendekatan bagi menyelami kesusahan yang mereka hadapi serta mencari penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang," katanya.

Dr Fathul memaklumkan sepanjang tahun lalu, hampir 500 keluarga disantuni menerusi pelaksanaan program tersebut dan tahun ini program itu terus diperluaskan kepada 600 penerima.

Sehingga kini,Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri telah memperuntukkan lebih RM58,000 bagi membantu 86 mangsa kejadian ribut di Perlis pada Jumaat dan Ahad lalu.

ZEHRA BINTI ZAMBRI