fb fb fb fb fb

Kerajaan negeri, MTA perkenal Teh Tarik Gula Melaka sempena TMM 2024

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan (dua, kiri) melakukan simbolik membuat Teh Tarik Gula Melaka pada Mesyuarat Agung Tahunan MTA kali-41, di sini, malam tadi/ BERNAMA

MELAKA, 28 Jun- Sempena Tahun Melawat Melaka (TMM 2024), kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Melaka (MTA) memperkenalkan produk pelancongan baharu iaitu Teh Tarik Gula Melaka sebagai tanda pengenalan bagi negeri itu.

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan berkata produk baharu di bawah subsektor pelancongan makanan itu mula dipromosi secara berperingkat di rangkaian premis hotel dan restoran di bawah MTA.

"Melaka sangat signifikan dengan gula Melaka… banyak produk makanan atau sektor kulinari yang menggunakan gula Melaka sebagai asas pembuatannya seperti cendol, kuih Gula Melaka atau onde-onde, kuih keria dan putu mayam.

"Jadi kita mengambil inisiatif memperkenalkan produk baharu Teh Tarik Gula Melaka yang tidak terdapat di tempat lain dan buat permulaan minuman berkenaan boleh didapati di Hotel Holiday Inn dan Bayou Lagoon Park Resort," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Agung Tahunan MTA kali-41 yang turut dihadiri Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka Sa'ari Basiro dan Presiden MTA Madelina WL Kuah.

Ujar Zaidi menjelang Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025, beberapa produk pelancongan baharu lain di bawah pelbagai subsektor pelancongan akan diperkenalkan sepanjang TMM 2024.

Beliau berkata dalam usaha memastikan sasaran kedatangan pelancongan sebanyak 18.7 juta orang sepanjang TMM 2024 tercapai, kerajaan negeri bekerjasama rapat dengan MTA dalam penganjuran program dan aktiviti pelancongan melibatkan pemain industri pelancongan pelbagai sektor.

"Saya difahamkan, di bawah MTA terdapat 65 ahli dalam kalangan rangkaian hotel, restoran, hospital swasta, ejen pelancongan dan pusat rekreasi yang bergiat serius memastikan TMM 2024 berjaya dilaksanakan dengan baik dan mendapat standard lebih baik dalam pelbagai aspek menjelang Persidangan Pelancongan Dunia 2025," katanya

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI