fb fb fb fb fb

Pelajar UPM inovasi laksam guna latok & soya chunk ganti ikan

Ahli pasukan Laksamudah bergambar bersama hasil produk mereka di hadapan reruai.

SERDANG, 28 Jun– Idea kreatif penghasilan laksam segera oleh sekumpulan pelajar Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadikan inovasi makanan ‘Laksamudah’ itu sebagai juara Pengenalan Produk Baharu 2024.

Ketua kumpulan, Nur Azlinna Mohd Zura, 23, berkata idea tersebut tercetus apabila beliau bersama lapan lagi ahli kumpulannya mengkomersialkan makanan tradisional negeri Pantai Timur.

"Inspirasi utama bagi projek ini apabila melihat laksam menjadi antara pilihan makanan utama sebagai juadah sarapan dari Kelantan dan Terengganu," katanya menerusi kenyataan.

Uniknya, inovasi laksam segera oleh pelajar tahun tiga Bacelor Sains dan Teknologi Makanan Dengan Kepujian (BSTM) itu adalah menggunakan latok dan soya chunk yang berfungsi menggantikan ikan sebagai bahan utama di dalam kuah laksam.

Latok dan soya chunk memberikan rasa dan tekstur yang hampir sama dengan ikan tanpa mengubah rasa asli kuah laksam.

Ia turut memberi kebaikan kepada pengguna kerana inovasi itu berasaskan tumbuhan.

"Konsep laksam segera ini sama seperti mi segera berasaskan tepung beras dan tepung gandum, digandingkan dengan kuah laksam daripada tumbuhan dan soya chunk serta perisa rempah asli Malaysia.

"Saya dan ahli kumpulan telah bertungkus-lumus selama 14 minggu untuk menghasilkan produk dan usaha ini sangat berbaloi dengan kemenangan yang kami raih,” katanya.

Nur Azlinna membawa pulang hamper, sijil dan RM400 sebagai hadiah kemenangan.

Bukan itu sahaja, beliau turut meraih kemenangan dalam kategori reruai terbaik dan membawa pulang RM100 berserta hamper.

Seramai 66 pelajar tahun tiga BSTM telah menyertai pertandingan itu bagi memenuhi keperluan kursus Pembangunan Produk Makanan Baharu (FST4828). 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM