fb fb fb fb fb

Program SULAM SMMTC utamakan pemindahan ilmu pengetahuan kepada komuniti

Program SULAM kendalian Program Komunikasi kali ini disertai 86 mahasiswa bagi membantu menyediakan Pelan Komunikasi Strategik kepada 19 usahawan IKS dari Kubang Pasu dan Kota Setar, Kedah/Foto UUM

SINTOK, 24 Julai – Pelaksanaan program Perkhidmatan Pembelajaran Malaysia-Universiti untuk Masyarakat atau SULAM di dalam subjek komunikasi membolehkan mahasiswa mempraktikkan ilmu pengetahuan sebelum mereka tamat pengajian dan memasuki industri.

Selain itu, Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Prof. Madya Dr. Mohd Khairie Ahmad berkata, program SULAM juga dapat melatih mahasiswa untuk terlibat di dalam proses pemindahan pengetahuan kepada komuniti.

Program SULAM yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) antara lain bermatlamat meningkatkan keterlibatan universiti dengan masyarakat dan memastikan berlaku pemindahan pengetahuan yang dapat memperkasa komuniti.

“Bagi tahun ini, SULAM SMMTC Universiti Utara Malaysia (UUM) di bawah kendalian Program Komunikasi memilih untuk mendekati pemain Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di daerah Kubang Pasu dan Kota Setar. Kami telah melaksanakan program SULAM sejak tiga tahun lalu. Bagi sesi 2024, seramai 86 mahasiswa yang mengikuti kursus Pengurusan Komunikasi Strategik telah terlibat membentangkan strategi komunikasi kepada 19 pengusaha IKS terdiri daripada sektor perkhidmatan serta perniagaan minuman dan makanan.

“Sebelum menghasilkan pelan komunikasi strategik tersebut, mahasiswa telah bekerjasama rapat dengan pengusaha bagi mengenal pasti isu-isu yang dihadapi berkaitan komunikasi. Ini kerana, ada pengusaha yang menjalankan perniagaan dengan lancar tetapi berdepan masalah untuk meningkatkan lagi perniagaan dari aspek pemasaran, pengiklanan, masalah komunikasi dalaman dan komunikasi pelanggan. Jadi, mahasiswa komunikasi akan mendalami permasalahan tersebut dan mengemukakan cadangan bagi mengatasi isu berkaitan komunikasi yang dihadapi pengusaha IKS ini,” jelas Dr. Mohd Khairie.

Mahasiswa kemudian diminta membentangkan Pelan Komunikasi Strategik mereka untuk dinilai oleh pengusaha IKS sendiri dan pensyarah UUM, sama ada menepati keperluan perniagaan atau tidak.

“Kami di SMMTC sangat berbangga kerana dapat menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat yang merupakan intipati utama kepada pelaksanaan program SULAM ini. Proses pemindahan pengetahuan dari universiti kepada komuniti ini dapat melatih mahasiswa kami supaya memanfaatkan ilmu pengetahuan bukan hanya untuk diri sendiri tetapi juga orang lain. Kami berhasrat memperluaskan program ini apabila mempunyai keupayaan kewangan dan SMMTC membuka pintu kerjasama seluasnya dengan pihak industri bagi menjayakan program SULAM yang sangat bermanfaat kepada komuniti,” kata Dr. Mohd Khairie lagi.

Sementara itu, ahli Jawatankuasa Teknikal SULAM SMMTC, Nuredayu Omar berkata, sesi tahun ini melibatkan penilai dari Pusat Pengajian Undang-undang, Pusat Pengajian Antarabangsa dan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan serta wakil IKS negeri Kedah.

“Rumusan daripada pembentangan pelajar kali ini mendapati banyak cadangan yang dikemukakan dapat membantu pengusaha IKS meningkatkan keterlihatan produk dan perniagaan, cadangan pelaksanaan komunikasi strategik di dalam organisasi, strategi meningkatkan jualan dan pentingnya pengusaha IKS memahami analisa data bagi mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

Mahasiswa yang terlibat di dalam program SULAM kali ini secara tidak langsung dapat menimba pengalaman secara langsung daripada pengusaha IKS dan menjadi salah satu medan latihan amali yang meningkatkan kualiti mahasiswa.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD