KUALA LUMPUR, 24 Julai - Seramai hampir 11 juta individu layak menerima Skim Perlindungan Takaful B40 (MySalam), tahun ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata Selangor mencatatkan negeri tertinggi penerima iaitu 1.48 juta, diikuti Johor 1.34 juta dan Sarawak 1.13 juta.
"Penerima yang layak akan mendapat manfaat hospitalisasi sebanyak RM50 sehari, dengan tempoh maksima 14 hari atau RM700 setahun sekiranya mendapat rawatan sama ada di hosptial kerajaan, hospital tentera atau hospital universiti.
"Selain itu, pembayaran sebanyak RM8,000 secara 'sekali bayar' turut diberikan kepada penerima yang disahkan mengalami 45 penyakit kritikal yang disenaraikan di bawah skim MySalam dan penerima MySalam turut layak membuat tuntutan bantuan kos peranti perubatan dengan had kelayakan sebanyak RM30,000 seorang, " katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Dr. Wan Martina binti Wan Yusoff pada sesi persidangan Dewan Negara, di sini.
MySalam disedia hingga akhir tahun depan, selari pengumuman Belanjawan 2024.
Bagi pelaksanaan akan datang, Lim berkata kementerian bersama Bank Negara Malaysia (BNM) akan meneruskan perbincangan dengan pihak takaful dengan fokus mempelbagaikan penawaran skim perlindungan untuk penuhi keperluan B40.
Mengenai cadangan memperluas MySalam kepada golongan M40, beliau berkata, ia masih diteliti dan belum diputuskan.