GUA MUSANG, 21 September -Program Satelit MADANI terus memberi manfaat besar kepada masyarakat, termasuk komuniti Orang Asli yang tinggal di kawasan pinggir bandar dan pedalaman.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Perancangan Strategik) Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud berkata, penganjuran program itu membolehkan penduduk luar bandar menikmati pelbagai inisiatif kerajaan secara langsung, termasuk Jualan Rahmah serta perkhidmatan daripada pelbagai agensi kerajaan.
Katanya, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam mendekati rakyat pelbagai kaum, tanpa mengira tempat dan pendekatan turun padang seperti itu bukan sahaja memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat,
"Kita mahu menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa memberi sokongan. Mendengar denyut nadi rakyat supaya mereka tidak merasai kesulitan. Sebarang masalah perlu melalui pemimpin sebagai ruang dan platform pemimpin bertemu rakyat. Lebih merasai denyut nadi. Begitu juga agensi kerajaan melalui jabatan.
"Jabatan Perpaduan turun ke komuniti ,melaporkan semula kepada kementerian apa yang mereka perlukan di peringkat komuniti. Jadi kita mohonlah keperluan bajet yang bersesuaian," katanya kepada pemberita selepas Program Eksplorasi Perpaduan dan Satelit MADANI Rakyat 2025 di Sekolah Kebangsaan Kuala Betis, di sini, semalam.
Terdahulu beliau turut melancarkan Galeri Orang Asli yang pertama di Kelantan bertempat di Sekolah Kebangsaan Kuala Betis. Galeri itu mendokumentasikan tokoh atau ikon Orang Asli, adat, kebudayaan dan warisan Orang Asli di negeri Kelantan.