fb fb fb fb fb

JPNP, PPRP lancar acara tanam 20,000 pokok hutan paya gambut terbesar di Malaysia

Foto Projek Pemulihan Tanah Gambut Pahang (PPRP)

PEKAN, 21 September - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dengan kerjasama Projek Pemulihan Tanah Gambut Pahang (PPRP) melancarkan acara penanaman pokok hutan paya gambut terbesar di Malaysia di Kompartment 156 Hutan Simpan Pekan, di sini.

Ketua Projek PPRP, Dr Jane Koh berkata, bawah inisiatif yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records menanam sebanyak 20,000 pokok hutan paya gambut pelbagai spesis seperti Meranti Paya, Bintangor Paya, Kempas, Merbau, Kelat Jambu Laut dan Kandis telah ditanam di kawasan terjejas teruk akibat kebakaran pada Mac lalu.

"Usaha berskala besar ini bukan sahaja bersifat simbolik, malah praktikal menghidupkan semula landskap yang parah akibat kebakaran, sambil memperkukuh daya tahan ekosistem tanah gambut. Sejak 2023, PPRP telah memulakan usaha pemulihan tanah gambut di Tenggara Pahang.

"Antara langkah yang diambil termasuk pemulihan hidrologi bagi memastikan kawasan gambut kekal lembap serta habitat flora dan fauna tempatan dapat dipelihara dan dipulihkan.

"PPRP juga komited untuk menjaga anak pokok yang ditanam hari ini agar ia dapat bertahan dan membesar dengan baik.

"Usaha ini meliputi pemantauan berkala,kawalan rumpai dan pencegahan kebakaran, di samping membuka peluang pekerjaan kepada komuniti setempat," menurut kenyataan itu.

Majlis acara Penanaman Pokok Hutan Paya Gambut Terbesar di Malaysia itu disempurnakan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohmed Fuzi Sh Ali.

PPRP merupakan satu usaha besar dalam pemulihan dan pemeliharaan kira-kira 96,569 hektar tanah gambut dan tanah lembap aluvium di negeri Pahang, sekali gus menjadikannya ekosistem gambut dan tanah lembap berterusan terbesar di Semenanjung Malaysia.

Fasa pertama projek itu meliputi 77,499 hektar kawasan hutan simpan pengeluaran kayu di Tenggara Pahang.

Objektif utama termasuk menangani perubahan iklim, melindungi biodiversiti bernilai global, serta mempromosikan sumber pendapatan lestari kepada komuniti setempat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI