fb fb fb fb fb

Program Salam Baitullah sasar penggunaan media sosial lebih meluas

(Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman menyantuni
petugas media sebelum berlepas ke tanah suci pada majlis Keberangkatan Petugas Haji 1444H/2023 di
Movenpick Hotel and Convention Centre) 

SEPANG, 14 Mei - Program Salam Baitullah edisi ke-15 yang bakal menemui penonton pada Jun ini akan menyasarkan penggunaan platform media sosial yang lebih efektif dan meluas.

Menurut wakil Pengurusan Berita Ehwal Semasa (BES) Radio Televisyen Malaysia (RTM), Azmah Abd Wahab, strategi itu dilaksana bagi memperkukuh penyampaian maklumat sekali gus menyebar luas program Salam Baitullah agar dapat diakses dengan mudah tanpa sempadan oleh khalayak.

"Tahun ini kita sasarkan lebih lagi terutama kita bagi tumpuan kepada platform media sosial atau pun media dalam talian menggunakan nama Salam Baitullah, pasukan kita yang empat orang ini, akan cuba buat 'live' setiap hari menerusi Tik Tok contohnya, di bawah nama Salam Baitullah juga, di page You Tube yang akan bersiaran setiap hari untuk membawakan perkembangan terkini jemaah haji, para petugas Tabung Haji dan juga suasana di Tanah Haram dan di semua tempat bagi pandangan semua dan pendengar RTM khususnya," kata beliau ketika ditemui Berita RTM pada majlis pelepasan 160 petugas haji termasuk media ke Tanah Suci, di sini.

Tambahnya, RTM telah melakukan pelbagai transformasi dalam setiap program yang diterbitkan termasuklah Program Salam Baitullah musim ini.


(Wakil Pengurusan Berita Ehwal Semasa (BES) Radio Televisyen Malaysia (RTM), Azmah Abd Wahab
ditemu bual Berita RTM pada majlis pelepasan 160 petugas haji termasuk media ke Tanah Suci)

Dalam pada itu, empat petugas media RTM yang membuat liputan operasi haji tahun ini akan memberikan liputan yang terbaik serta informatif dan bersiaran secara langsung di platform media sosial Tik Tok, Facebook, Instagram dan You Tube Salam Baitullah.

"Kelainan untuk Salam Baitullah, kita dah rancang Insya-Allah kita akan ketengahkan di Padang Arafah nanti, mungkin kita akan bawakan gambaran yang lebih untuk rakyat Malaysia, jemaah-jemaah dan keluarga jemaah di sini, Insya-Allah," jelas petugas media RTM, Mohd Faiz Shauqi Md. Roziki.

"Bagi saya dari berita pula, liputan secara harian kita dah bawa, bermula bila kita di Tanah Suci nanti, liputan harian itu kita dah bawakan terutama dari segi persiapan petugas-petugas yang akan bertolak hari ini dan ketika ketibaan penerbangan di sana nanti pun kita akan cuba bawakan sedaya upaya kami untuk 'live' sekerap yang boleh," menurut petugas media RTM, Annaz Md Nor.

Media Baharu