(Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman
menyantuni para petugas haji pada majlis Keberangkatan Petugas Haji 1444H/2023 di
Movenpick Hotel and Convention Centre hari ini/ Foto BERNAMA)
SEPANG, 14 Mei - Seramai 670 petugas haji digerakkan secara berperingkat ke Arab Saudi bagi menjayakan perjalanan operasi haji tahun ini.
Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata mereka terdiri daripada petugas kebajikan, pasukan perubatan dan selebihnya agensi luar termasuk Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta pengamal media.
"Dan ini merupakan kumpulan yang kedua setelah kumpulan yang pertama seramai 16 orang telah pun berlepas hari Jumaat yang lalu dan pada hari ini seramai 160 orang telah berlepas. Jadi, saya harap mereka apabila sampai nanti dapat bersiap sedia dari segi kemudahan dan perkhidmatan untuk menyambut para jemaah haji kumpulan pertama dari Malaysia pada 21 mei nanti," katanya kepada pemberita pada majlis pelepasan 160 petugas haji termasuk media ke tanah suci di sini hari ini.
(Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman
berucap pada majlis Keberangkatan Petugas Haji 1444H/2023 di Movenpick Hotel and
Convention Centre hari ini/Foto BERNAMA)
Dalam pada itu, TH masih menunggu keputusan kerajaan Arab Saudi berhubung permohonan 10,000 kuota tambahan jemaah haji Malaysia tahun ini.
"Itu (rayuan kuota tambahan) terpulang kepada kerajaan Arab Saudi. Mereka mempunyai jawatankuasa untuk melihat dari segi permohonan-permohonan yang diterima dan dalam masa yang sama, mereka lihat juga dari aspek lain seperti kemudahan, prasarana dan sebagainya.
"Jadi tempoh untuk mereka menjawab semula kepada kita itu berbeza-beza, setakat ini belum lagi (keputusan kuota tambahan)," katanya.