fb fb fb fb fb

252,000 pengguna SADA di tiga daerah terjejas gangguan bekalan air

(FOTO FB SYARIKAT AIR DARUL AMAN SDN BHD)

ALOR SETAR, 14 Mei - Hampir 252,000 akaun pengguna Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) di tiga daerah di Kedah terjejas gangguan bekalan air membabitkan Kuala Muda, Kulim dan sebahagian kawasan Baling, bermula hari ini.

SADA dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa gangguan bekalan air tidak berjadual itu bermula pada pukul 7.25 pagi disebabkan penurunan mendadak paras sungai yang berpunca daripada kerosakan pintu barrage Sungai Muda.

Kejadian luar jangka itu mengakibatkan pengoperasian Loji Rawatan Air (LRA) Pinang Tunggal, Sungai Petani dan LRA Kulim Hi-Tech terpaksa dihenti tugas buat sementara waktu sehingga paras sungai kembali stabil.

Sehubungan itu, bilik gerakan telah diaktifkan serta-merta dan pengguna boleh menyalurkan aduan atau pertanyaan menerusi talian 04-7408976 (Ibu Pejabat), 04-4216798 (Wilayah Kedah Tengah) dan 04-4846770 (Wilayah Selatan) selain daripada platform sedia ada iaitu Pusat Informasi SADA di talian 1300-88-0017.


(Foto FB Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd) 

"SADA akan menggerakkan lori tangki air ke kawasan terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

"SADA akan sentiasa bergerak seiring untuk melakukan pemantauan rapi ke atas paras Sungai Muda bersama pihak Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) sebagai badan yang berfungsi dan bertanggungjawab dalam mengawal selia dan membekal sumber air mentah kepada SADA," menurut kenyataan tersebut.

Dalam masa sama, SADA memahami kesukaran yang dihadapi oleh pengguna akibat gangguan bekalan air tidak berjadual ini dan langkah proaktif sedang giat dijalankan bagi mengatasinya dengan kadar segera.

Maklumat berkenaan gangguan bekalan air tidak berjadual ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi platform digital rasmi Facebook dan TikTok Syarikat Air Darul Aman dan laman sesawang rasmi SADA di www.sada.com.my.

Media Baharu