fb fb fb fb fb

Penyusunan semula JBPM dibuat secara berfasa - Nga

BANDAR HILIR, 15 Mei - Cadangan penyusunan semula Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan diteliti secara komprehensif.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Ko Ming berkata penyusunan semula itu akan dilakukan secara berfasa melibatkan naik taraf perjawatan dan pengisian perjawatan sedia ada yang masih kosong serta mempertimbang untuk menambah jumlah keanggotaan JBPM.

(Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Ko Ming)

"Dengan jumlah terkini melebihi 15,000 anggota berbanding 33.57 juta populasi Malaysia ia menjadikan nisbah keanggotaan 1 kepada 2, 238 orang penduduk.

"Ditambah pula dengan jumlah panggilan kecemasan yang perlu dihadiri melebihi 100,000 setiap tahun, saya melihat jumlah keanggotaan ini sama sekali tidak seimbang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023, yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam, di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di sini.

Sementara itu, Nga berkata Kerajaan Perpaduan memperuntukkan RM206.64 juta menerusi Belanjawan 2023.

Ini bagi memperkasa perkhidmatan bomba merangkumi RM46.51 juta bagi perolehan peralatan dan kelengkapan untuk meningkatkan kecekapan dan tahap kesiapsiagaan JBPM, meningkat hampir lima kali ganda berbanding tahun 2022.

"Sukacita saya nyatakan RM18.2 juta peruntukan baharu telah diluluskan untuk perolehan kelengkapan kebombaan dan 12 ekor anjing pengesan.

"Selain itu, RM129.93 juta bagi pembinaan bangunan JBPM baharu di seluruh Malaysia dan menaik taraf bilik siap siaga di balai bomba sedia ada termasuk penyelenggaraan bangunan dan jentera bomba," katanya.

Media Baharu