fb fb fb fb fb

Program Rakan Muda persiapkan generasi miliki nilai kemanusiaan tinggi -PM

BANGI, 25 Jun- Program Rakan Muda yang diberi nafas baharu merupakan persiapan bagi melahirkan generasi dengan cita-cita murni dan nilai kemanusiaan tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia sekali gus menjadikan Malaysia sebuah negara hebat di rantau ini.

Katanya, program itu juga dapat mempersiap generasi dengan nilai-nilai persaudaraan yang menolak elemen rasuah dan hipokrasi.

“Ia persiapan satu generasi punyai nilai insan yang hormat satu sama lain, senang dengan kebaikan, persaudaraan, teknologi baharu, benci dengan rasuah dan hipokrasi serta benci dengan orang menghina kaum lain,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Rakan Muda di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, hari ini.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Timbalannya, Adam Adli Abd Halim.


(Datuk Seri Anwar pada Majlis pelancaran Rakan Muda di UKM, Bangi, hari ini / (FB JBSNegara)

Perdana Menteri, yang membahasakan dirinya sebagai ‘Pakcik Anwar’ pada majlis pelancaran itu turut menggesa tiada pemikiran lapuk dan jumud dalam kalangan belia, selain tiada unsur yang boleh memecah-belahkan perpaduan negara.

Anwar turut memberi jaminan bahawa Kerajaan MADANI pimpinan beliau akan memberi apa sahaja sokongan yang diperlukan dalam pembangunan anak muda di negara ini.

“Kita ada pasukan di kementerian yang saya percaya boleh menjadi jurubicara anak-anak muda, program mereka, keprihatinan mereka termasuk penjawat awam, menjurus ke arah itu (menyokong pembangunan belia), kerajaan dengan falsafah MADANI ini akan bantu apa juga,” katanya.

Pendaftaran untuk menyertai Rakan Muda boleh dilakukan dengan menghubungi 03-8871 3724, melalui portal https://www.kbs.gov.my/rakanmuda.html atau e-mel kepada Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Sementara itu Perdana Menteri turut memaklumkan pembayaran eBelia Rahmah sebanyak RM200 untuk individu berusia 18 hingga 20 tahun akan dikreditkan mulai 8 pagi esok.

Ujarnya, sejumlah RM400 juta diperuntukkan bagi inisiatif berkenaan yang akan memanfaatkan dua juta belia.

Penebusan sehingga 22 Ogos boleh dibuat menerusi tiga penyedia perkhidmatan e-dompet iaitu Boost, Setel dan Touch ‘n Go eWallet.

Media Baharu