KUALA PERLIS, 4 Jun- Program Pendidikan Pengundi merupakan usaha untuk memberi pengetahuan, kesedaran dan kefahaman mengenai hak serta tanggungjawab sebagai pengundi dalam sistem demokrasi berparlimen.
Pengarah Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis, Zaliha Abu Bakar berkata, program anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Akademi Pilihan Raya (APR) itu mendapat penyertaan daripada 236 pelajar.
"Pendedahan sebegini amat penting terutamanya kepada golongan muda agar mereka menjadi pengundi yang celik maklumat, bertanggungjawab dan aktif dalam menentukan masa depan negara," katanya kepada pemberita di sini.
Peserta program turut berpeluang menyertai simulasi proses pengundian sebenar serta tatacara mengundi yang betul di Dewan Utama, IKBN Kuala Perlis.