fb fb fb fb fb

Program pembasmian kemiskinan tegar diperkemas

SHAH ALAM, 1 Mac- Program pembasmian kemiskinan di seluruh negara, akan diperkemaskan selepas satu Nota Jemaah Menteri dibentangkan pada mesyuarat Kabinet, dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Eddin Syazlee Shith, berkata, agenda pembasmian kemiskinan tegar kekal menjadi keutamaan negara dan tidak akan terjejas oleh ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.

Katanya, program bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU) itu bertepatan dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam, berhubung usaha membasmi kemiskinan tegar menjelang 2025.

Beliau berkata, bagi fasa pertama, 80 lokaliti dengan bilangan keluarga miskin teramai di seluruh negara telah dikenal pasti sementara jumlah lokaliti itu boleh berubah mengikut keperluan dan kesesuaian, selain tertakluk persetujuan jemaah menteri.

(Eddin Syazlee (duduk, tengah) dan Ahmad Tarmizi (duduk, dua dari kanan) pada Program ‘Back To School’ Uthmaniah Properties Development Sdn Bhd, hari ini)


"Saya difahamkan, satu Nota Jemaah Menteri akan dikemukakan pada mesyuarat Kabinet dalam tempoh terdekat.

"Saya percaya, selepas pembentangan Nota Jemaah Menteri serta titah Yang di-Pertuan Agong, agenda itu akan lebih diperkemaskan dan menjadi keutamaan.

"Kita tunggu pengumuman yang akan dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan bagaimana proses pelancaran akan dibuat dalam tempoh terdekat.

"Saya percaya, proses (fasa) pertama untuk program membasmi kemiskinan itu akan dilaksanakan dalam bulan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program 'Back To School' anjuran Uthmaniah Properties Development Sdn Bhd (UPDSB) di Pangsapuri PPR Hicom, di sini.

Turut hadir, Pengerusi UPDSB, Datuk Ahmad Tarmizi Mohamad.

Sementara itu, Ahmad Tarmizi berkata, UPDSB memperuntukkan RM50,000 sebagai bantuan segera kepada 150 pelajar daripada keluarga B40 bagi persediaan kelengkapan sekolah, melalui program hari ini.

Media Baharu