fb fb fb fb fb

Rakyat Malaysia di Ukraine digesa daftarkan diri dengan Kedutaan Malaysia di Warsaw untuk mudahkan proses bantuan - PM

KUALA LUMPUR, 1 Mac- Rakyat Malaysia yang masih berada di Ukraine dan tidak berdaftar disaran untuk menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Warsaw, Poland sekiranya memerlukan bantuan.

Semua rakyat Malaysia berdaftar selamat dibawa keluar dari negara bergolak itu dan tiada yang tinggal kecuali mereka yang tidak berdaftar.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri berkata buat masa ini Malaysia menutup sementara pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Kiev, Ukraine susulan serangan ketenteraan Rusia ke atas negara tersebut.

"Kita telah bincang dengan pejabat di Warsaw untuk dihubungi kalau ada tiba-tiba timbul isu rakyat tak daftar tiba-tiba mereka mohon pertolongan untuk bantu, pejabat kita di Warsaw akan membantu."

"Saya harap kalau ada rakyat kita, saya menyerulah kepada rakyat kita yang tidak berdaftar tapi berada di Ukraine, sila hubungi pejabat di Warsaw di Poland," kata beliau pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas menyambut kepulangan rakyat Malaysia yang dibawa keluar dari Ukraine menerusi misi evakuasi.

Perdana Menteri berkata setakat ini Kedutaan Besar Malaysia di Kiev merekodkan 24 rakyat Malaysia yang berdaftar di Ukraine menerusi misi evakuasi warganegara Malaysia dari Ukraine pada 26 Februari.

Sebelum ini, 13 warganegara Malaysia telah meninggalkan Ukraine dalam tempoh 14 hingga 24 Februari atas nasihat Kedutaan Besar Malaysia susulan kenyataan media Kementerian Luar Negeri pada 14 Februari 2022.

Dalam pada itu, kumpulan rakyat Malaysia yang telah berlepas dari Warsaw ke Malaysia semalam dan telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)pada pukul 3.07 petang tadi dengan menaiki pesawat Qatar Airways, QR848 dari Doha.

(Kumpulan rakyat Malaysia di Ukraine yang bertolak dari Warsaw tiba di KLIA disambut oleh Perdana Menteri petang tadi)

Kumpulan tersebut adalah kumpulan terakhir yang dibawa keluar dari Ukraine susulan serangan Rusia Khamis lalu.

"Kita sangat bersyukur kejadian berlaku di Ukraine membimbangkan, tapi alhamdullilah nyawa dan keselamatan rakyat kita jadi keutamaan kerajaan. Oleh sebab itu, kita melakukan usaha terbaik untuk pastikan rakyat kita berada di Ukraine selamat," kata Ismail Sabri kepada pemberita RTM.

Perdana Menteri seterusnya mengadakan pertemuan dengan kumpulan itu secara tertutup.

Media Baharu