PUTRAJAYA, 24 April- Perwakilan wanita dalam politik Malaysia memerlukan program pembangunan kepimpinan lebih kukuh dan mampan untuk memperkasakan peranan wanita khususnya dalam arena politik negara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ketika ini kira-kira 13.36 peratus golongan wanita terlibat dalam arena politik Malaysia.
Beliau menyifatkan ruang yang diberikan kepada penglibatan wanita dalam politik merupakan usaha positif agar golongan itu turut serta dalam jentera pentadbiran negara.
"Semasa saya mula-mula masuk sebagai Ahli Parlimen Batang Sadong pada 2008, terdapat kira-kira 14 peratus daripada kami.
"Sekarang angka berkenaan berkurangtetapi ini tidak bermakna parti tidak menghantar cukup (calon wanita). Parti memang hantar calon tetapi orang tidak mengundi wanita kerana itu bukan trend kita di Malaysia," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Untuk Memperkasa Wanita Kepimpinan Inklusif (ICEWIL) di sini.
Justeru, Program Perantitisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) diperkenalkan kementerian itu untuk melahirkan lebih ramai pemimpin wanita dan menggalakkan penyertaan aktif mereka dalam arena politik tanah air.
"Itulah sebabnya kita memerlukan lebih banyak program kepimpinan seperti ICEWIL, supaya kita boleh mendedahkan lebih ramai golongan muda tentang apa itu kepimpinan," katanya lagi.
Bagi tahun 2025 Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melaburkan RM5 juta melibatkan 100 mentor dan 5,000 peserta bagi program ICEWIL.
Dalam perkembangan lain golongan lelaki yang berdepan masalah kesihatan mental dan tekanan emosi hingga membawa kepada perlakuan negatif terhadap orang sekeliling diseru agar mendapatkan bantuan profesional dengan segera.
Nancy berkata perkhidmatan kaunseling yang disediakan adalah sulit, selamat dan dirahsiakan sepenuhnya bagi memudahkan mereka tampil untuk mendapatkan bantuan tersebut.
"Individeu berkenaan boleh hubungi Talian Kasih menerusi 15999. Selain daripada itu kita juga ada Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS). Ia memberi ruang kepada individu berkenaan untuk bercakap secara terus dengan kaunselor.
"Perkara yang diceritakan kepada kaunselor itu adalah secara sulit. Jadi orang lain tidak akan tahu apa perkara yang dibincangkan.
"Kita memang galakkan supaya permasalahan yang dialami untuk diluahkan. Mungkin ia boleh ditafsirkan memalui lukisan atau penceritaan, dari situ kita akan tahu perasaan dia. Kemudian kita akan putuskan sama ada akan ada rawatan susulan atau perbincangan seterusnya," katanya.