fb fb fb fb fb

Berebut kawasan, peminta sedekah maut ditikam

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 24 April- Seorang lelaki maut ditikam dipercayai akibat perebutan tempat meminta sedekah dalam kejadian di hadapan sebuah bank di Seksyen 18, Shah Alam tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Iqbal Ibrahim dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan awal mendapati mangsa berusia 40 tahun merupakan peminta sedekah di kawasan berkenaan bertengkar dengan suspek lelaki yang juga peminta sedekah.

Kedua-duanya disyaki berebut kawasan untuk melakukan aktiviti terbabit.

"Suspek bertindak mengeluarkan sebilah pisau lalu menikam di bahagian dada mangsa beberapa kali sehingga mangsa jatuh terbaring dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri, menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun bertindak atas maklumat, pihaknya menahan suspek berusia 28 tahun itu kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi dan semakan lanjut mendapati lelaki terbabit memiliki sembilan rekod jenayah lampau.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Shah Alam, pagi esok," tambah kenyataan itu.

Dalam pada itu orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Penolong Penguasa Polis (ASP) Muhammad Abd Hafiz Sariee menerusi talian 014-8905051 bagi membantu siasatan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI