PUTRAJAYA, 24 April- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai memberi rakaman percakapan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Ahli Parlimen Bera tersebut hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada pukul 11.00 pagi dan dilihat meninggalkan pejabat berkenaan pukul 6.10 petang selepas proses tersebut berlangsung selama tujuh jam.
Perdana Menteri kesembilan itu dilihat hanya melambaikan tangan kepada pengamal media yang berkumpul di situ sejak awal pagi.
Difahamkan, Ismail Sabri dijangka hadir semula ke SPRM esok bagi meneruskan rakaman percakapan pada pukul 3.00 petang.
Beliau kali terakhir dirakam keterangan pada 24 Mac lalu di SPRM Putrajaya berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan perbelanjaan serta dana promosi program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatannya dari Ogos 2021 hingga November 2022.