fb fb fb fb fb

Program Merdeka@Komuniti lahirkan semangat cintakan negara

ARAU, 7 September- Sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 dan Hari Malaysia yang bakal menjelang 16 September ini terus disemarakkan komuniti setempat bagi menzahirkan semangat cintakan negara dan mengeratkan perpaduan.

Di Kampung Padang Benta, Simpang Empat misalnya, lebih 300 penduduk menyertai Program Merdeka@Komuniti yang dihiasi dengan pelbagai aktiviti.

 
(ADUN Simpang Empat, Nurulhisham Yaakob melihat kreativiti penduduk Kampung Padang Benta di sini)

Menurut Exco Negeri, Nurulhisham Yaakob, program ini digerakkan Jabatan Penerangan Negeri dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Arau, Pusat Khidmat DUN Simpang Empat, Jabatan Kemajuan Masyarakat dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Padang Benta.

Aktiviti yang dilaksanakan termasuklah Kayuhan Merdeka oleh kanak-kanak, pertandingan hiasan kreatif Jalur Gemilang dan gotong royong masakan tradisi termasuklah ubi kayu, pekasam dan kuih tradisional.

"Sambutan hari merdeka dan juga hari Malaysia yang akan disambut pada 16 haribulan yang melibatkan keseluruhan Kampung Padang Benta. Lebih kurang 120 buah rumah, semuanya hadir untuk meraikan ini disamping itu mereka dibantu oleh kanak-kanak yang berdekatan sepanjang kampung ini," katanya kepada media Program Merdeka@Komuniti di Kampung Padang Benta, Simpang Empat di sini.

ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim mewakili Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim turut hadir dalam program tersebut.

Program Merdeka@ Komuniti ini akan diteruskan di kawasan komuniti setempat sehingga menjelangnya Hari Malaysia pada 16 September ini dengan pelbagai pengisian yang telah disusun atur.

Terdapat sebanyak 45 Komuniti Keluarga Malaysia di tiga kawasan parlimen negeri ini dan sehingga kini pelaksanaannya program kemerdekaan dan Hari Malaysia sentiasa mendapat sokongan baik masyarakat.


(Kanak-kanak teruja menyertai kayuhan Merdeka beramai-ramai di sini)

Media Baharu