fb fb fb fb fb

Program Khidmat Komuniti Bersama Antarabangsa beri impak positif

Program Khidmat Komuniti Bersama Antarabangsa boleh jadi strategi perkukuhkan lagi diplomasi rakyat kepada rakyat dua negara berjiran /Foto universitas mercu buana

BUKIT MERTAJAM, 18 Mei – Penganjuran Program Khidmat Komuniti Bersama Antarabangsa mampu menjadi salah satu strategi berkesan untuk mengukuhkan lagi diplomasi peringkat rakyat kepada rakyat dua negara, iaitu Malaysia dan Indonesia.

Pelaksanaan program itu juga dapat meningkatkan perkongsian pengetahuan melibatkan peserta dari dua negara dan menjadi platform terbaik kepada kakitangan akademik universiti terlibat untuk menyumbang semula kepada komuniti menerusi pemindahan ilmu pengetahuan.

Program tersebut dianjurkan oleh Fakulti Sains Komunikasi Universitas Mercu Buana Jakarta (UMB) dengan kerjasama Pertubuhan Masyarakat Indonesia di Pulau Pinang (PERMAI) dan Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) di Yayasan An-Nadhoh, Pulau Pinang baru-baru ini.

“Tema program kali ini adalah “Media Literacy and Personal Branding Training for Indonesia Migrant Workers in Penang, Malaysia” dipilih bagi memperkasa kemahiran peserta, menambah pengetahuan berkaitan celik media dan membina jenama peribadi yang penting kepada pemerkasaan serta pembangunan komuniti. Program ini telah membantu mengukuhkan lagi kerjasama akademik serta budaya antara peserta dari Indonesia dan Malaysia,” jelas Dekan Fakulti Sains Komunikasi UMB, Prof. Dr. Ahmad Mulyana.

Perasmian program disempurnakan oleh Naib Rektor UMB, Prof. Madya Rizki Briandana dan turut dihadiri pegawai Fungsi Penerangan dan Sosial Budaya Konsulat Jeneral Indonesia, Dadang Rahmat serta pengasas Yayasan An-Nadhoh, Abdul Mutalib Maarof.

Ia disertai 111 peserta terdiri daripada pemimpin dan ahli kumpulan komuniti Indonesia di Pulau Pinang iaitu Paguyuban Anak Rantau Indonesia (PARI) bersama penuntut Yayasan An-Nadhoh.

Ucaptama bertajuk “Greening the Digital Space: Tackling Cyberbullying for a Sustainable Future” disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Saifudin Mohamad Saleh memberi fokus kepada pentingnya usaha mewujudkan ruang digital yang selamat, sihat dan lebih terangkum iaitu tidak mengabaikan kumpulan terpinggir dalam usaha memastikan kemampanan dalam ruang dalam talian atau luar talian.

Peserta mengikuti dua sesi program merangkumi ceramah pendidikan, permainan interaktif dan sesi perbincangan yang disertai barisan pensyarah dari UMB meliputi topik berkaitan celik media dan penjenamaan peribadi.

Isu-isu lain yang disentuh dalam modul berkenaan adalah keselamatan siber, celik politik, tanggungjawab sosial peribadi (PSR) dan identiti rentas budaya.

Topik dan tema yang dipilih bagi program ini selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) untuk kepentingan serantau.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD