fb fb fb fb fb

Pelukan terakhir sebelum berangkat ke Tanah Suci, jadi kenangan

Adik kepada jemaah haji yang meninggal dunia di Mekah, Anggiat Tambunan Nordin (duduk, kanan) menunjukkan gambar mereka sekeluarga bersama arwah kakaknya, Norizah, ketika ditemui pemberita di kediaman arwah di Kampung Low Piak, Taman Nira/ BERNAMA

BATU PAHAT, 18 Mei- Tidak disangka, pelukan terakhir sebelum berangkat ke Tanah Suci, menjadi kenangan terakhir dari seorang kakak yang tidak akan kembali.

Itu luahan pilu Anggiat Tambunan Nordin, adik kepada Allahyarhamah Norizah Tambunan Nordin, 47 tahun, yang meninggal dunia di Mekah, 16 Mei lalu.

Menurut Anggiat, kakaknya rebah dalam perjalanan menuju ke Masjidil Haram untuk menunaikan tawaf bersama jemaah lain.

"Arwah memeluk saya lama dan sangat erat perlukan tersebut. Memang kedua-duanya menjadi sedih. Cuma saya bisik di telinga dia, saya mengatakan, kak ingat pesan mak, dalam hidup kita kena pergi ke arah yang selamat dunia dan akhirat", katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di sini.

Walaupun perit menerima berita duka itu, namun keluarganya reda dengan takdir Ilahi dan menganggap ianya sebagai satu pemergian yang dicemburui.

Jenazah Allahyarhamah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sharayaa 64, Mekah, pada hari sama.

Sementara itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid turut menzahirkan takziah dan sokongan serta menziarahi keluarga Allahyarhamah.

Kerajaan Negeri turut menyumbang tambang percuma bernilai RM7,800 yang telah dimasukkan ke akaun Allahyarhamah.

"Kita juga siap sedia menyumbang kepada semua jemaah termasuk kepada Allahyarham juga. Sumbangan tambang percuma berjumlahRM7,800 dan telah diterima ke dalam akaun Allahyarhamah dan dimaklumkan supaya keluarga maklum untuk ambil tindakan seterusnya", katanya.

ROSLINA BINTI DIN