KUALA LUMPUR, 6 November- Program Kesejahteraan Kesihatan di Parlimen bertujuan untuk membudayakan amalan hidup sihat dalam kalangan ahli Parlimen semasa tempoh persidangan.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, kempen itu diharap dapat diperluas ke kawasan Parlimen masing-masing.
"Kenapa kita lakukan di sini? Supaya ahli Parlimen membawa mesej serta perancangan kami untuk melaksanakan program-program ini di kawasan mereka khususnya melalui jawatankuasa khas kesihatan Parlimen," katanya dalam sidang media selepas meninjau Program Kesejahteraan Kesihatan di lobi Parlimen di sini.
Program tersebut turut dihadiri Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul serta beberapa ahli Parlimen.
Program yang berlangsung sehingga 14 November itu menyediakan pelbagai perkhidmatan antaranya nasihat pemakanan, pengurusan berat badan, penyusuan susu ibu, demonstrasi masakan sihat, pameran, dan ceramah pemakanan.