ALOR SETAR, 16 Disember- Seramai 1,600 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah di lapan negeri, telah menerima bantuan kelengkapan sekolah.
Sumbangan tajaan Etiqa Insurans dan Takaful dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM) sempena Program Kembali ke Sekolah 2024.
Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, melalui program itu sebanyak lapan siri penjelajahan akan diadakan dan Kedah merupakan lokasi keempat selepas Sarawak, Selangor, Pahang.
Program akan diteruskan ke Perak, Johor, Kelantan serta Sabah bagi memenuhi tanggungjawab pengagihan sumbangan zakat Etiqa kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
"Saya berharap dengan adanya bantuan ini, dapat meringankan beban ibu bapa khususnya yang kurang berkemampuan untuk menyediakan pakaian sekolah kepada anak-anak merekalah."
"Kita juga berharap pelajar yang menerima bantuan ini dapat belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya," kata Zawahir kepada pemberita selepas menghadiri Program Kembali Ke Sekolah 2024 Peringkat Negeri Kedah, di sini.
Pada program itu, seramai 200 pelajar kurang berkemampuan dari Sekolah Kebangsaan Gerigis dan anak-anak asnaf sekitar kawasan Alor Setar menerima kelengkapan sekolah yang disampaikan oleh Pengarah Wilayah Utara, Etiqa Insurans and Takaful, Haslinda Omar.
Setiap pelajar yang terpilih menerima dua set uniform sekolah, beg sekolah, sejadah dan dua pasang kasut beserta stokin sebagai persediaan untuk menghadapi sesi persekolahan 2024.