(Foto Media Istana)
KANGAR, 1 Mei- Program Kayuhan Berbasikal Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli satu program untuk kesihatan, beramah mesra dan berkongsi rezeki.
Ia juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara peserta.
Program ini juga dapat mendekatkan lagi rakyat dengan pemimpin.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa yang turut menyertai kayuhan tersebut berkata beliau berasa kagum, dapat melihat sendiri kemesraan Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama rakyat jelata.
"Saya berharap program ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita di sini.
Menerusi Program Kayuhan Berbasikal MAIPs Peduli ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan singgah di tiga lokasi kediaman asnaf terpilih sekitar Kampung Kota dan Kampung Guar Syed Alwi bagi menyerahkan sumbangan wang tunai berjumlah RM700 daripada MAIPs.
Program kayuhan sejauh 15 kilometer tersebut turut disertai Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr. Norhayati Rusli dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Dr. Asmayani Khalib.
(Foto Media Istana)