fb fb fb fb fb

Program JIWA Komuniti MADANI, perkenal budaya India kepada masyarakat

Antara aktiviti diadakan ialah mewarna, mengikat bunga serta membuat kolam.

GEORGE TOWN, 21 Julai- Program JIWA Komuniti MADANI menjadi platform bagi mengeratkan hubungan agensi kerajaan dan penduduk setempat.

Ini susulan kelainan yang dibawakan kali ini dengan memperkenalkan budaya kaum India kepada semua lapisan masyarakat.

Pegawai Penerangan Daerah Timur Laut, Lim Miow Juang berkata program itu berjaya menarik penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat kerana kebiasaan ia diadakan di dewan, tetapi kali ini bertempat di kuil.

"Ini membuktikan kesepaduan hidup masyarakat berbilang kaum..kita juga mahu mempromosikan konsep Malaysia MADANI kepada masyarakat.

"Ini salah satu tempat yang kami rasa tempat yang kami boleh 'collect crowd', selain daripada kita buat di dewan besar... ini pun satu tempat yang sangat menarik, di mana kami kaum Cina jarang masuk ke kuil, jadi Program JIWA Komuniti MADANI menjadi platform kami mengenali budaya India," katanya kepada media selepas menghadiri Program JIWA Komuniti MADANI di Kuil Sri Ruthra Veeramuthu Maha Mariamman di sini.

Program dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang.

Pengerusi Kuil Sri Ruthra Veeramuthu Maha Mariamman, M. Krishnamurti berkata program itu disambut baik pihak Komuniti MADANI dan pihak kuil yang menyediakan tempat pelaksanaan program ini.

"Kami bekerjasama rapat dengan Jabatan Penerangan negeri untuk menjayakan program ini. Ia satu program yang bagus..dan saya melihat ia menyatupadukan penduduk berbilang kaum. Antara aktiviti diadakan ialah mewarna, mengikat bunga serta membuat kolam," katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM