fb fb fb fb fb

Program JiWA bentuk akhlak anak yatim melalui al-Quran

Peserta dalam kalangan anak yatim dan sukarelawan UM melaksanakan modul program JiWA

KUALA LUMPUR, 18 Jun- Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim (PERKAYA) Marang, Terengganu melaksanakan sebuah program pembangunan diri yang dinamakan sebagai “A Wonderful Journey with Al-Quran” (JiWA) baru-baru ini.

Penyelaras JiWA, Dr. Selamat Amir berkata, seramai 133 orang peserta berusia 13 hingga 15 tahun dalam kalangan anak yatim telah menyertai program yang berlangsung selama dua hari membabitkan 49 orang mahasiswa UM daripada Jabatan al-Quran dan al-Hadith (APIUM).

Ia dilaksanakan menerusi program Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) dan mendapat sokongan daripada beberapa institusi masjid serta syarikat seperti Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Saudagar Asia.

"Program JiWA menyasarkan anak-anak yatim, dengan tujuan memberikan mereka pemahaman yang mendalam mengenai al-Quran, sekali gus membentuk akhlak mulia.

“(Selain itu) memberikan kefahaman kepada peserta tentang keutamaan al-Quran sebagai panduan hidup yang syumul. Ini dilaksanakan dengan modul bagi mempelajari ilmu tajwid serta memperbaiki bacaan al-Quran secara praktikal," katanya dalam satu kenyataan.

Kesemua peserta juga dipupuk kesedaran terhadap tanggungjawab kepada masyarakat melalui aspek muamalah dan interaksi, serta pembangunan jati diri supaya dapat mengamalkan qudwah hasanah dalam pembentukan akhlak mereka.

Sementara itu, Timbalan Pengetua Hal Ehwal Pelajar PERKAYA, Mat Riduan Harun menyambut baik inisiatif berkenaan yang menyantuni anak-anak yatim.

"Saya percaya penglibatan mahasiswa UM dalam program ini bukan sahaja akan memastikan objektif program dapat dicapai, malah akan memberikan nilai tambah daripada segi pemantapan motivasi kepada anak-anak di sini untuk mencapai impian masing-masing," katanya.

Beliau percaya JiWA memberikan nilai tambah daripada segi kemahiran dan pengalaman bermakna kepada peserta, agar sama-sama menjadi ejen perubahan yang diperlukan masyarakat.

1806 JIWA UM 2
Peserta JiWA dan sukarelawan UM bergambar beramai-ramai

SITI AISHAH MD ISA