fb fb fb fb fb

Perdana Menteri China adakan lawatan rasmi ke Malaysia

Foto RTM

SEPANG, 18 Jun - Perdana Menteri China Li Qiang tiba di sini untuk mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia.

Pesawat khas yang membawa Li dan delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 8:50 malam.

Ketibaan Li disambut oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Li kemudiannya memeriksa barisan kawalan kehormatan setempat yang terdiri daripada 28 pegawai dan anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja yang diketuai Kapten Nur Ahmad Zaim Zahari.

Menerusi lawatan kerjanya itu, Li dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China.

Selain itu, pertemuan itu juga menjadi platform kedua-dua pemimpin untuk bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Li juga akan mengadakan kunjungan menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Anwar dan Li Qiang juga akan menghadiri majlis upacara pecah tanah Laluan Rel Pantai Timur (East Coast Rail Link – ECRL) di Gombak dan makan tengah hari bersama-sama komuniti perniagaan dari kedua-dua negara.

Pada 2023, China kekal sebagai rakan perdagangan Malaysia terbesar bagi 15 tahun berturut-turut dari 2009, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM450.84 bilion.

Dalam pada itu dalam satu kenyataan Li berkata, beliau kekal komited untuk terus bekerjasama dengan Malaysia bagi perkukuhkan lagi strategi lestari antaranya pembangunan, serta meningkatkan pertukaran budaya.

Selain bersedia mempromosi hubungan rakyat kedua dua negara pada masa hadapan sekali gus membawa manfaat serta sumbangan positif kepada keamanan dan pembangunan rantau ini.

Jelas Li, penekanan tersebut selari dengan konsep Malaysia Madani yang menggalakkan pembangunan negara berkualiti tinggi.

Sejak 50 tahun hubungan diplomatik, China dan Malaysia telah mengekalkan momentum pertumbuhan kukuh dan mempunyai ekonomi yang pesat membangun di Asia.

Manakala Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) akan terus memacu pembangunan sosioekonomi Beijing-Kuala Lumpur.

TETITIA YUSOFF