fb fb fb fb fb

Program jejak seni warisan diteruskan ke seluruh negara

AYER KEROH, 2 Oktober- Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) akan terus menjelajah ke seluruh negara tahun depan bagi menjejak seni warisan di semua negeri bagi memastikan ia tidak luput ditelan zaman.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud berkata, seni warisan di setiap negeri mempunyai keunikan dan peminat tersendiri bukan sahaja dalam kalangan masyarakat setempat malah luar negara seperti Singapura.

Ia terbukti melalui Program Seni Warisan yang telah dijalankan sepanjang tahun ini seperti zapin di Johor, dikir barat bagi negeri Kelantan, seni warisan bongai dari Negeri Sembilan, boria di Pulau Pinang, rebana seni warisan dari Perak dan dondang sayang di Melaka mencapai matlamat dan mendapat sambutan menggalakkan.

Katanya, untuk tahun hadapan RTM akan menjelajah ke beberapa negeri lain seperti Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak untuk mengetengahkan seni warisan mereka kepada umum.

(Datuk Che Roslan ketika ditemui selepas Seni Warisan Pertandingan Akhir Dondang Sayang
Negeri Melaka di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) Melaka)

"Saya nampak selepas COVID-19 ini kita ada mulakan seni warisan ini dan dapat sambutan yang baik daripada masyarakat.

"Kita lihat dikir barat dari Kuala Lumpur, Singapura datang begitu juga dondang sayang ini dan kita harap ia akan dapat diteruskan pada masa akan datang dengan memulakan dengan pelapis-pelapis baharu. Kita tidak mahu mereka punya ini golongan veteran lama yang biasa kita latih peserta daripada junior mengikut had umur. Kemungkinan kita boleh adakan juara antara juara mungkin 4 -5 tahun kita cari yang terbaik, juara antara juara", kata Che Roslan ketika ditemui selepas Seni Warisan Pertandingan Akhir Dondang Sayang Negeri Melaka di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) Melaka di sini

Turut hadir Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna, Ngwe Hee Sem.

Che Roslan berkata RTM akan terus komited memartabatkan seni warisan negara dengan melaksana penyiaran kandungan bersifat pertandingan dan pertunjukan warisan setiap negeri.


(RTM akan terus menjelajah ke seluruh negara tahun depan bagi menjejak seni warisan
di semua negeri bagi memastikan ia tidak luput ditelan zaman)

Media Baharu