fb fb fb fb fb

Program BMTKM fasa satu salur lebih RM17 juta bantu ketua isi rumah

(Peruntukan itu melibatkan 70 lokaliti di seluruh negara untuk memulakan
program, latihan dan bantuan peralatan memulakan aktiviti perniagaan)

GUA MUSANG, 2 Oktober- Lebih RM17 juta telah dibelanjakan bagi membantu 1,536 ketua isi rumah (KIR) bawah Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) fasa satu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, peruntukan itu melibatkan 70 lokaliti di seluruh negara untuk memulakan program, latihan dan bantuan peralatan memulakan aktiviti perniagaan.

Katanya lebih banyak akan dibelanjakan melibatkan peruntukan keseluruhan RM150 juta.

Program BMTKM fasa kedua dijadual bermula pada pertengahan bulan ini melibatkan 110 lokaliti di seluruh negara.

(Datuk Seri Mustapa ditemui pemberita di Program Bersama Masyarakat Orang Asli di
Kampung Kuala Lah, Gua Musang)

"Kita akan laksanakannya dalam tempoh terdekat dan tahun ni kita ada tiga fasa melibatkan 300 lokasi seluruh negara. Sudah pasti negeri-negeri dengan kadar kemiskinan tinggi maka bilangan kawasan juga keluarga itu lebih besar daripada negeri lain.

"Jadi kita dapat kerjasama semua pihak di sini dan pejabat tanah, daripada ahli parlimen dan ADUN daripada Kelantan oleh JAKOA, Jabatan Pertanian dan kita akan pantau setiap bulan. Itu bezanya program ni dengan program lain. Pemantauan setiap bulan. Untuk pastikan mereka terlibat ini benar-benar menjalankan urusan ataupun perniagaan," kata Mustapa kepada pemberita di Program Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Kuala Lah, di sini.

Menerusi program itu sebanyak RM415,996 diperuntukkan kepada 35 keluarga Orang Asli miskin tegar untuk menyertai bidang pertanian
seperti cendawan, serai dan halia.

Katanya, program tersebut dapat membantu Orang Asli meningkatkan pendapatan dan mengubah nasib serta menaik taraf ekonomi mereka.

"Kami amat bersyukur kerana kami di kampung ni tidak ada projek yang diberi sebanyak itu. Jadi hari ini kami dapat banyak. Jadi saya rasa bersyukur apa yang diperuntukkan oleh kerajaan," kata Penghulu Kampung Kuala Lah Ali Latif.

"Perasaan tu memang bersyukur sangat kerana ini peluang untuk penduduk kampung ni bersama-sama ubah nasib ekonomi keluarga," kata penerima bantuan, Ida Terang

Mengikut data terdapat lebih 130,000 keluarga miskin tegar di seluruh negara ketika ini.

Antara negeri yang tertinggi ialah Sabah, Sarawak, Kelantan dan Kedah.

Media Baharu