(Muhammad Khairul Anam menerima diploma serta trofi
anugerah Adiwira bagi pihak allahyarham Hairul Zaman/PSA)
SHAH ALAM, 1 Oktober- Suasana hiba menyelubungi Dewan Al-Jazari Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) apabila pengacara majlis mengumumkan anugerah Adiwira diberikan kepada allahyarham Hairul Zaman Abdul Jalil bersempena Majlis Konvokesyen PSA kali ke-23 yang diadakan di sini.
Abang allahyarham Hairul Zaman, Muhammad Khairul Anam Abdul Jalil hadir menerima sijil dan trofi.
Beliau melahirkan rasa syukur atas penganugerahan yang diberi sebagai menghargai pengorbanan arwah.
“Dia seorang adik yang baik dan pendiam. Dekat rumah tak banyak cakap tapi rakan-rakan kata Hairul mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi terutamanya sejak masuk PSA,” ujarnya.
Sementara itu ibunya Sulaiha Suyut berkata, Hairul Zaman merupakan anak yang baik dan tidak pernah timbulkan masalah.
“Dia juga seorang pelajar yang cemerlang. Sejak sekolah rendah sering terima macam-macam anugerah,” ujarnya yang tidak mampu menahan sebak.
Allahyarham Hairul Zaman, pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal maut apabila cuba menyelamatkan rakannya yang lemas dalam kejadian di Bentong, Pahang pada 26 Mac.
(Puan Sulaiha Suyut tidak dapat menahan sebak apabila pengacara majlis mengumumkan
allahyarham Hairul Zaman sebagai penerima anugerah Adiwira sempena Majlis Konvokesyen
Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kali ke-23)
Anugerah Adiwira pertama kali diperkenalkan dalam Majlis Konvokesyen PSA bagi menghargai keberanian dan pengorbanan mahasiswa.
Majlis Konvokesyen PSA kali ke-23 yang berlangsung pada 1 dan 2 Oktober melibatkan seramai 1,684 graduan ijazah sarjana muda, diploma dan sijil daripada Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Jabatan Perdagangan.