fb fb fb fb fb

Program IBR, elak gejala rasuah di NS

Foto FB Menteri

SEREMBAN, 4 Mac- Kerajaan Negeri Sembilan menyambut baik usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memerangi rasuah dalam kalangan ahli politik dan penjawat awam menerusi penganjuran Program Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun, pelaksanaan IBR penting kerana ia merupakan satu ikrar dan janji yang dibuat oleh pemimpin dan kakitangan sesebuah organisasi bagi memastikan mereka bertugas dengan penuh integriti serta menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah.

"Saya harap bahawa IBR ini bukan sahaja di pejabat Menteri Besar, pejabat exco-exco mahupun di Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi seluruh kakitangan awam juga dilantik sebagai mata dan telinga kepada kerajaan negeri."

"Peranan ini perlu dijalankan oleh semua pihak termasuk jawatankuasa kita, ahli majlis dalam memastikan Negeri Sembilan ini bebas rasuah," kata Aminuddin kepada pemberita selepas menghadiri program Bicara Eksekutif Anti Rasuah Kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan Yang Ke-13 di Wisma Negeri, di sini.

Pada program tersebut, kesemua 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan hadir untuk mendengar taklimat yang disampaikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Beliau turut melaporkan, setakat ini Negeri Sembilan tidak mempunyai rekod kes rasuah yang melibatkan ahli politik di negeri itu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM