IPOH, 4 Mac- Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menambah baik beberapa aspek permohonan kewarganegaraan termasuk proses temuduga.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses tersebut perlu dilakukan dalam suasana lebih santai agar tidak membebankan pemohon.
Sehingga kini terdapat kira-kira 12,000 permohonan kerakyatan melalui Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan yang masih dalam proses oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
"Banyak ruang kita boleh tambah baik tanpa krompomi keperluan, dan mengikut peruntukan undang-undang, sebab ini ternyata dalam Perlembagaan Malaysia.
"(Ini kerana) kita nak buat keputusan tentang perkara besar, (soal) warganegara, tetapi kita yakin kita boleh laksanakan ini dalam tempoh yang tidak terlalu panjang," katanya kepada pemberita demikian selepas menghadiri Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) bersama penghuni Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta di sini.
MEKAR merupakan program turun padang JPN bagi memastikan golongan sasar terutama individu di kawasan pedalaman dan mereka tidak berkeupayaan memiliki pengenalan diri.
Untuk tahun lepas sahaja, sebanyak 1700 program MEKAR telah dijalankan dengan memberi manfaat kepada kira-kira 29,000 rakyat.