fb fb fb fb fb

Program Ekonomi MADANI, menteri ditugas umum perkembangan dasar - Anwar

(Foto BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 1 Ogos- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kesemua menteri akan ditugaskan secara harian untuk mengumumkan perkembangan dasar dan program dirancang di bawah konsep Ekonomi MADANI.

Menurut Anwar, ini kerana kerangka ekonomi itu akan dijadikan asas untuk beberapa dasar spesifik lain yang dijadualkan untuk diumumkan dalam beberapa bulan akan datang.

"Sebelum ini, Menteri Ekonomi (Rafizi Ramli) telah mengumumkan (pelan) Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (selaras Ekonomi MADANI) dan dalam beberapa minggu akan datang, kerajaan akan mengumumkan Pelan Induk Industri.

"Menyusul selepas itu, kajian semula separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 dan hanya pada Oktober, akan ada (pengumuman) mengenai belanjawan kedua MADANI," Anwar berkata demikian pada Persidangan Percukaian Kebangsaan 2023 di sini.

Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia perlu kreatif dalam menstruktur ekonomi dalam usaha menjadi ketua ekonomi dalam negara Asia.

Ini tidak mustahil untuk dicapai memandangkan Malaysia pernah mencapai prestasi yang baik ketika era 90-an.

Menurut Anwar lagi, bagi mencapai tujuan itu, Malaysia harus berjaya menangani isu semasa termasuk kos sara hidup, selain mengamalkan tadbir urus yang baik tanpa sebarang ketirisan dan menjunjung prinsip penyayang, belas kasihan dan Rahmah.


(Foto BERNAMA)

Media Baharu