fb fb fb fb fb

Program BMSS dan Hari Terbuka Wellness Hub Sabak Bernam meriah

BMSS merupakan satu inisiatif di bawah ANMS KKM dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang sihat sejahtera / JKNS

SABAK BERNAM, 23 September - Hampir 500 peserta memeriahkan Program Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) dan Hari Terbuka Wellness Hub Sabak Bernam yang berlangsung di Kampung Sungai Limau, baru-baru ini.

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Safruddin Sahalan berkata, BMSS merupakan satu inisiatif di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Kementerian Kesihatan (KKM) dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang sihat sejahtera.

"Pelaksanaan sambutan ini digabungkan dengan Hari Terbuka Wellness Hub bersempena BMSS yang dilaksanakan pada September. Hari Terbuka ini merupakan inisiatif yang bertujuan memperkasa kesejahteraan kesihatan komuniti secara menyeluruh.

"Program ini menyediakan platform interaktif bagi memperkenalkan perkhidmatan kemudahan dan aktiviti ditawarkan oleh Wellness Hub kepada komuniti setempat.

"Ia memberi peluang kepada komuniti untuk meningkatkan kesedaran, maklumat dan amalan cara hidup sihat dalam kehidupan harian," katanya dalam ucapan semasa majlis perasmian program tersebut.

Program anjuran Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sabak Bernam itu menyajikan pelbagai aktiviti menarik, dengan acara Fun Walk dan Plogging (berjalan sambil kutip sampah) paling mendapat sambutan.

Antara aktiviti lain seperti eksplorasi Wellness Hub, senaman aerobik, saringan kesihatan, pemainan interaktif di Wellness on Wheel, sesi lawatan ke rumah oleh ejen kesihatan MyChampion bersama Wow Zoomers, serta pemeriksaan gigi dan pertandingan mewarna.

Selain itu, terdapat juga pemberian suntikan imunisasi tambahan measles (demam campak) dan rubella secara percuma semasa program tersebut.

2309 NSL BMSS SABAK BERNAM PORTAL123Sesi lawatan rumah ke rumah oleh ejen kesihatan, MyChampion bersama Wow Zoomers semasa program BMSS dan Hari Terbuka Wellness Hub Sabak Bernam di Kampung Sungai Limau, Sabtu lalu.- JKNS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE