fb fb fb fb fb

ASEAN sasar tingkatkan perdagangan serantau menerusi ATIGA dan DEFA

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 23 September - ASEAN optimis perdagangan intra-ASEAN akan terus diperkukuh menerusi beberapa inisiatif baharu yang dijangka dimuktamadkan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada akhir Oktober ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, antaranya menerusi pemeteraian Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA).

''Walaupun jumlah perdagangan ASEAN mencatatkan peningkatan, namun perdagangan dalam kalangan negara anggota kekal pada kadar yang agak stabil.

''Justeru, menjelang Oktober ini, pemeteraian kami berharap pemeteraian ATIGA dan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China, selain kesimpulan substantif bagi Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) serta DEFA akan melonjakkan perdagangan intra-Asean terutamanya melalui ATIGA dan DEFA,'' katanya pada sidang media hari kedua Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57, di sini, hari ini.

ATIGA yang dinaik taraf akan merangkumi elemen baharu bagi menangani isu-isu berbangkit, termasuk barangan dikilang semula, perdagangan dan alam sekitar, perdagangan dalam situasi krisis kemanusiaan, serta keterhubungan rantaian bekalan.

Manakala DEFA, kerangka pertama seumpamanya di peringkat serantau, berpotensi menggandakan saiz ekonomi digital ASEAN kepada AS$2 trilion menjelang 2030.

“Beberapa langkah bukan tarif juga akan dikurangkan, dengan sebahagiannya digariskan dalam ATIGA dan sebahagiannya dalam DEFA. Perkara ini akan menjawab banyak kebimbangan yang wujud ketika ini,” tambahnya.

Sementara itu katanya, dialog Asean bersama anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) akan diadakan pada 20 November ini bagi membincangkan potensi kerjasama bersama pakatan dagangan itu.

Trainee