KUALA LUMPUR, 23 Sept- Semakan kelayakan bagi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) boleh dibuat mulai Khamis ini, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata semakan boleh dilakukan secara dalam talian menerusi portal rasmi www.budimadani.gov.my. di Pusat Khidmat Pelanggan BUDI95 atau melalui aplikasi Setel dan CaltexGO selepas proses verifikasi identiti selesai.
“Pengguna hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan untuk mengetahui kelayakan subsidi yang diperoleh.
“Portal ini kekal digunakan dan mulai 30 Sept, setiap penggunaan subsidi akan dipaparkan secara harian termasuk baki kelayakan. Had ditetapkan ialah 300 liter sebulan,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat media mengenai penyasaran subsidi RON95 di sini, hari ini.
Menurut beliau, pengguna tidak perlu membuat pendaftaran baharu kerana semakan kelayakan dilakukan secara automatik berdasarkan nombor kad pengenalan.
Amir Hamzah berkata di stesen minyak pula, pengguna hanya perlu memasukkan MyKad pada pembaca di pam atau kaunter kedai untuk pengesahan kelayakan sebelum membuat bayaran.
“Pembayaran boleh dibuat menggunakan tunai, kad kredit/debit atau e-dompet. Selepas selesai mengisi petrol, resit akan memaparkan nilai transaksi pada harga pam, jumlah subsidi ditanggung kerajaan dan amaun sebenar yang dibayar pengguna pada harga RM1.99 seliter,” katanya.
Katanya kuota subsidi kekal 300 liter sebulan, manakala penggunaan melebihi had itu dikenakan harga pasaran semasa.
“Hampir semua stesen minyak dilengkapi dengan pembaca MyKad, manakala sebahagian syarikat minyak turut menawarkan semakan melalui aplikasi masing-masing seperti Setel dan Touch ’n Go. Usaha ini bagi memastikan subsidi disalurkan kepada mereka yang layak, mengurangkan ketirisan serta memberi penjimatan kepada kerajaan,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 kekal pada RM1.99 seliter bermula 30 Sept ini untuk rakyat Malaysia, tanpa mengira tahap pendapatan.
Bagi bukan warganegara, harga ditetapkan pada RM2.60 seliter bermula tarikh sama. -BERNAMA