SETAPAK, 18 Disember - Program berkhatan beramai-ramai setiap kali musim cuti persekolahan menjadi salah satu platform mengeratkan silaturahim antara komuniti setempat.
Di Setapak, lebih 100 orang kanak-kanak menyertai program khatan anjuran Hospital Pakat Ohana.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Fahmi Matsom berkata program tersebut merupakan program tahunan hospital yang melibatkan kanak-kanak berusia dari 5 hingga 12 tahun.
"Program hari ini merupakan program yang kita buat pada skala yang besar sempena cuti sekolah melibatkan beberapa kumpulan peserta.
"Pertama anak-anak yang pernah lahir disini, kedua kita melibatkan anak-anak golongan asnaf Seri Rampai dan juga kita turut buka kepada anak-anak luar yang ingin turut serta dalam program ini," katanya kepada pemberita pada Majlis Berkhatan 2022, di sini.
Tambah Khairul, istimewanya program pada kali ini ialah ada daripada kalangan kanak-kanak yang menyertai program khatan ini hadir dengan pakaian baju melayu lengkap diiringi dengan paluan kompang.
"Mereka juga turut dimandikan dengan air pancuran dari jentera Bomba bagi memeriahkan majlis," katanya.