fb fb fb fb fb

Program Bantuan Pendidikan YPM manfaat 3,140 pelajar

Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Ramlan Datuk Harun menyampaikan bantuan dalam Program Bantuan Pendidikan YPM bawah Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) Bubar di Sekolah Menengah Kebangsaan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Tahan, Jerantut

JERANTUT, 8 Januari - Yayasan Pelajaran MARA (YPM) memperuntukkan sebanyak RM573,500 untuk Program Bantuan Pendidikan YPM bagi tempoh tiga tahun.

Program itu dilaksanakan di enam daerah di Pahang iaitu Bera, Jerantut, Maran, Pekan, Rompin dan Temerloh yang merupakan kawasan bawah Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) Bubar.

Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Ramlan Datuk Harun berkata, program pendidikan berkonsepkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu telah mula dilaksana sejak 2021 dan berjaya memberi manfaat kepada 3,140 pelajar.

"Jadi seramai 153 pelajar telah kita berikan kit permulaan sekolah yang melibatkan pakaian seragam beg dan sebagainya yang bernilai RM150 per unit.

"Tujuan kita adalah untuk membantu masyarakat terutama dalam kalangan B40 untuk memulakan persekolahan. Kita faham memang agak terbeban sedikit pada mereka kita, dengan bantuan ini dapat meringankan sedikit beban ibu bapa," kata Ramlan kepada pemberita di sini.

Jelasnya, program yang turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Pejabat Pendidikan Daerah itu menyasarkan pelajar Melayu dan Bumiputera asnaf serta golongan B40 di kawasan LKW Bubar dengan bantuan akses pendidikan.

Bantuan yang disalurkan termasuk berbentuk kewangan, peralatan persekolahan, peranti elektronik dan program pendidikan kepada pelajar luar bandar dalam usaha mengelak berlakunya keciciran semasa mengikuti pembelajaran.

TETITIA YUSOFF