KANGAR, 7 Julai - Produk Agropelancongan kini dilihat sebagai sumber ekonomi yang boleh menjana pendapatan lumayan khususnya dalam kalangan pengusaha hasil tanaman, terutamanya buah-buahan bermusim.
Ini termasuk pengusaha dusun durian di sekitar Pusat Ekopelancongan Bukit Ayer memandangkan musim durian kini telah tiba yang menjadi rebutan buat penggemar pelbagai varieti buah itu.
Pemilik Dusun Durian Hanafiza Hasnan, setiap kali tibanya musim durian sudah pastinya menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar negeri Perlis bagi menikmati raja buah Bukit Nyatoh berkenaan ketika berkunjung ke Pusat Ekopelancongan Bukit Ayer.
"Setiap hari lebih 200 kilogram durian dijual, antaranya durian kampung dan durian kahwin, manakala durian lain seperti Musang King, IOI dan udang merah belum lagi luruh yang dijangka dalam seminggu hingga dua minggu lagi akan dapat dinikmati oleh penggemar raja buah berkenaan," katanya.
Selain durian, pengunjung yang hadir turut boleh menikmati buah-buahan seperti manggis, cempedak, rambutan dan petai.
Bagi mempopularkan durian Perlis ini, santai makan durian beserta pulut turut disediakan di dusun untuk dinikmati bersama-sama keluarga, ia dijadikan sebagai produk terbaharu Agro Pelancongan yang menjanjikan suasana dalam kampung mampu memberi pendapatan tambahan kepada pengusaha dusun.
Aktiviti makan dalam dusun disediakan setiap hari sepanjang musim buah-buahan berkenaan dengan harga berpatutan dan terletak bersebelahan Restoran Dusun Nakawan yang menjadi tarikan pengunjung ke Bukit Ayer.