KUANTAN, 7 Julai- Telur, susu dan santan antara barangan asas yang menjadi pilihan pengunjung menerusi Jualan Rahmah, pada Program MADANI Rakyat Zon Timur 2024.
Tiga barangan asas yang dijual dengan harga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran itu, habis dijual dalam masa empat jam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang, Jezlily Jamaluddin, ketika dihubungi berkata sebanyak 2,600 papan telur telah terjual sejak ia mula dibuka pada Jumaat.
Santan pula terjual sebanyak 6,400 kotak dan susu sebanyak 5,600 tin.
Tambahnya, pada hari terakhir iaitu hari ini, pihaknya menyediakan tambahan 1,300 papan telur, 2,800 tin susu dan 3,200 santan kotak kepada pengunjung.
Selain itu, barangan basah seperti ayam, turut terjual sebanyak 2,000 ekor dalam masa empat jam.
Mengikut rekod yang dikemaskini oleh pihak KPDN, jumlah pengunjung yang hadir ke Jualan Rahmah mencatat 6,000 orang setakat semalam dan dijangka bertambah pada hari ini.
Sementara itu, rata-rata pengunjung tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan dengan diskaun sebanyak 30 peratus, yang jauh lebih murah daripada harga pasaran.
"Baguslah, kos dapat jimat sikit. Harga jauh lebih murah. Kalau ada barang yang murah dekat pasaran tetapi di sini harganya lebih murah daripada itu. Selain itu, kita boleh beli banyak barang," kata Bibi.
"Memang bagus. Kualiti dalam keadaan baik, harga pun lebih murah berbanding harga pasaran. Secara keseluruhan, sini lebih baik," kata Karthik Murugan.
"Ok, barang murah. Macam-macam boleh beli," kata Ah Seng.