TAWAU, 18 November - Polis mengesahkan tiada sebarang aduan atau laporan salah laku, termasuk dakwaan pengundi hantu sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 setakat ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail memberi jaminan bahawa pemantauan keselamatan tetap dipertingkatkan dengan lebih 9,000 anggota digerakkan di seluruh negeri.
“Saya percaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menjalankan tugas dengan baik. Perkara seperti ini tidak akan timbul, dan setakat ini tiada laporan polis berkaitan isu pengundi hantu. Saya yakin sistem yang dilaksanakan SPR adalah kukuh dan dapat dijalankan dengan baik demi memastikan kelancaran pilihan raya di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi perjumpaan khas bersama 600 anggota PDRM di Dewan Sri Tawau.
Datuk Seri Mohd Khalid turut memaklumkan bahawa 12,729 pegawai dan anggota PDRM akan mengundi awal pada 25 November ini, satu tanggungjawab penting bagi memastikan keamanan negeri terus terpelihara.
PDRM dalam pada itu turut memantau secara ketat 15 kawasan tumpuan, namun setakat ini keadaan dilaporkan terkawal.
Selain itu, operasi membanteras jenayah, termasuk penyalahgunaan narkotik, diteruskan sepenuhnya sepanjang musim pilihan raya.
