PRN Johor : Datuk Fahmi tawar platform TV1 untuk Onn Hafiz, Maszlee berdialog

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil ditemui media selepas Makan Malam Amal di Muar / Foto RTM

MUAR, 2 Julai – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menawarkan platform Radio Televisyen Malaysia (RTM) TV1 bagi membolehkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan calon Pakatan Harapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik mengadakan sesi dialog terbuka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dialog membuka peluang kepada rakyat menilai pandangan, idea dan hala tuju kedua-dua pemimpin.
  • Fahmi kata calon Menteri Besar mesti bersedia berdepan media, penyokong dan pihak berbeza.
  • Beliau mengulas Khairy: PH perlu namakan calon MB Johor sebelum mendesak Onn Hafiz sertai debat.

Beliau berkata sesi itu akan memberi peluang kepada rakyat menilai sendiri pandangan, idea dan hala tuju yang dibawa kedua-dua pemimpin.

“Masa masih ada. Jika perlu, saya sedia menyediakan platform RTM TV1 untuk Dr Maszlee dan Datuk Onn Hafiz berdebat atau, jika tidak mahu berdebat, kita boleh berdialog dengan beradab,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Makan Malam Amal di sini, malam ini.

Menurut Datuk Fahmi, seseorang yang ingin menjadi calon Menteri Besar perlu bersedia berdepan media, penyokong serta pihak yang mempunyai pandangan berbeza.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, yang berpandangan Pakatan Harapan (PH) perlu menamakan calon Menteri Besar Johor terlebih dahulu sebelum mendesak Onn Hafiz menyertai debat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.