fb fb fb fb fb

PRN Johor: agihan kerusi parti komponen PN sudah muktamad- Muhyiddin Yassin


KOTA TINGGI, 19 Februari-
Perikatan Nasional (PN) sudah memuktamadkan agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara gabungan parti komponen itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac nanti.

Perkara itu disahkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas melancarkan Perikatan Nasional Johor di Taman Pasak Indah, Kota Tinggi malam tadi.

Ujarnya, perkara itu berjaya diselesaikan tanpa sebarang pergaduhan antara parti terbabit.

"Tiada pergaduhan dan kesemua 56 kerusi sudah selesai. Senarai calon yang akan dikemukakan juga sudah dimuktamad dan kita akan serahkan kepada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi dan akan diumumkan dalam beberapa hari lagi.

"Ini memang langkah biasa yang kita lakukan untuk memastikan semua calon disemak," katanya ketika berucap melancarkan Perikatan Nasional Johor di Kota Tinggi.

Hadir sama, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai serta barisan kepimpinan tertinggi parti-parti komponen PN.

Pada majlis berkenaan bekas Perdana Menteri itu turut melancarkan lagu rasmi PN berjudul 'Kami Perikatan Nasional'.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor manakala penamaan calon pada 26 Februari ini dan pengundian awal pada 8 Mac.


Media Baharu